air mata keinsafan

Menangislah wahai mata,
kerana itu adalah tugasmu,
Menangislah wahai mata,
kerana itulah kamu diciptakan,
Mata,
kau banyak berjasa padaku,
titisan air mata ini sentiasa mengalir deras bila hatiku tersentuh,
menemani aku disaat kesedihan,
kesepian,
dan air mata ini menjadi saksi aku dan Yang Maha Besar,
ketikaku sujud menyembah pada Yang Esa.
Mata,
terima kasih kerana mata ini sentiasa mengajar aku erti sabar,
sabar untuk menahan gegaran hati,
yang hampir mengugat keimananku. 



Mata,
aku tahu pasti kau letih untuk menangis,
dan kadangkala hampir kering air matamu untuk mengalir,
maafkan aku mata,
aku bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan memberi keinsafan padaku,
tentang nikmat yang amat berharga ini,
kerana jika tiada mata bagaimana hendak aku melepaskan amarah pada diri ini?
Menangislah wahai mata,
seandainya diri ini masih memerlukanmu,
selagi rasa syahdu terus meratapi,
selagi Allah meminjamkan padaku,
selagi aku masih hidup di muka bumi ini.
- Artikel iluvislam.com

Masihkah Ada Taubat Bagi Dosa Yang Berulang?

Secara umumnya taubat bermaksud kekesalan dan keinsafan terhadap dosa yang dilakukan, lalu memohon keampunan Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.

Ini berdasarkan firman Allah:
"Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal" (Surah Ali 'Imran: 135-136).

Maka, asalnya taubat itu di samping keinsafan dan memohon keampunan, ia juga adalah azam untuk tidak mengulanginya.
Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri.

Ketika dia bertaubat, jika ia lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya. Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan mengharapkan keampunan.

Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa. Jika taubat seperti itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha atau yang ikhlas. Ia diterima Allah.

Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian, hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang sama. Jika, dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha Mengetahuinya dan insyaAllah akan mengampuni dosanya yang awal, juga dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi.

'Dean List' Kerana Allah

Kehidupan sebagai seorang pelajar pastilah tidak dapat lari daripada peperiksaan. Apabila menyebut tentang peperiksaan, tidak dapat tidak, keputusan peperiksaan amatlah dititikberatkan. Sudah menjadi lumrah, yang mendapat markah tinggi itu bersalut kegembiraan dan mereka yang mendapat markah rendah berselubung duka.
Setelah keputusan peperiksaan keluar, terdapatlah beberapa orang pelajar yang tidak mendapat markah yang diharapkan. Selepas selesai bermuhasabah, maka mereka berpendapat, belajar bukan kerana Dean list, tetapi belajar kerana Allah. Sekali saya memandang seperti tidak ada yang silap.
Ya, benar! Belajar kerana Allah. Tidak ada yang silapnya di situ.
Matlamat yang disalahertikan
Bagi kebanyakkan pelajar tahun 1 di sini, dan saya percaya di mana-mana pun, semua orang akan meletakkan target, "Sekurang-kurangnya, Dean list". Saya juga pernah meletakkan targetsedemikian.
Timbulnya pendapat seperti di atas membuat aku sedikit lega. Tak dapat Dean list pun tidak mengapa. Janji, aku belajar kerana Allah. Namun aku tertanya-tanya, salahkah belajar keranaDean list? Tidak bolehkah kita belajar kerana Allah dan dalam pada masa yang sama mendapatDean list?
Pernah dikisahkan tentang seorang pemuda berperang kerana ingin mendapatkan bidadari. Maka timbul satu persoalan. Adakah dia berperang kerana Allah?
Ulama bersependapat mengatakan beliau berperang kerana Allah. Ini kerana, beliau yakin dengan balasan Allah janjikan iaitu balasan syurga dan bidadari. Berperang untuk menuntut janji-janji Allah.
Begitu jugalah dengan kita. Sunnatullah mengatakan mereka yang berusaha akan berjaya. Itu hukum alam. Syarat dan akibat. Mahukan akibat yang baik, ada syarat-syaratnya. Mahukan akibat yang kurang baik, ada syarat-syaratnya. Jadi bukankah mengejar kejayaan itu juga menunjukkan bahawa kita yakin dengan Allah? Percaya dengan sunnatullah?
Adakah mengejar kejayaan atau dalam konteks kita, Dean list adalah salah? Tidak kerana Allah?